LAMBAIAN CINTA ZULAIKHA

 

 

Sayu, Zulaikha mendengar bunyi bingit kapal terbang yang baru sahaja
berlepas. Digenggam tangan anak tunggalnya takkala bibit pilu menikam-nikam
benak dua beranak itu, dan linangan air mata melambai pemergian Hanzalah.

 

Tatkala bunyi kapal terbang sudah tidak kedengaran lagi, Huzaifah
memimpin ibunya ke kereta. Disapunya air mata dingin yang terbit di mata buta
ibunya yang tua itu dengan penuh kasih sayang. Zulaikha sebak dalam perjalanan
pulang. Dia masih terkenangkan pelukan terakhir suami tercintanya sebentar
tadi. “Ya Allah, Kau selamatkanlah perjalanan suamiku.”

 

 

“Huzaifah…” Zulaikha memanggil anak tunggal kesayangannya.

 

“Ya, ummi.” Jawab Huzaifah sopan.

 

“Mari ke sini sekejap, ummi nak minta tolong sikit.”

 

Huzaifah segera ke bilik tidur ibunya selepas dipinta. Dipandangnya wajah
ibunya sayu, masih berbekas kepiluan ditinggalkan suami selama 2 bulan. Selama
2 bulan, tidak pernah lekang tangis hiba dan doa dalam Tahajjud Zulaikha saban
hari, mendoakan kesejahteraan suaminya. Namun senyum manis ibu tua itu tidak
pernah tergelongsor dari paksi bibirnya membuatkan si anak bertambah sayu
mengenangkan ketabahan ibunya.

 

“Ya, ummi.” Huzaifah menyapa ibunya.

 

“Ummi jumpa benda ni dalam
laci abah. Apa ni?” tanya Zulaikha sambil menghulurkan sebuah buku berkulit
hitam.

 

Huzaifah membukanya dan
mendapati ia adalah sebuah buku catatan ayahnya. Dibacakan kandungan buku itu
kepada ibunya. Zulaikha tersenyum lantaran mendengar suara Huzaifah yang seiras
suaminya itu menuturkan ayat-ayat daripada buku catatan tersebut, seolah-olah
mendengar Hanzalah bercakap di hadapannya

 

Huzaifah membelek-belek helaian
buku tersebut, hingga satu ketika anak matanya terpaku dek kandungan dua helai
muka surat yang bersebelahan. Bergenang air matanya…

 

Zulaikha masih duduk di
sebelah Huzaifah. Tersenyum memandang ke arah buku itu seolah-olah dia mampu
melihat dan membaca kandungannya. Lidah Huzaifah tersekat-sekat menahan hiba.
Ditahannya suara agar tidaklah ibunya tahu kehibaan itu. Zulaikha masih
tersenyum, bagaikan meminta Huzaifah teruskan pembacaan.

 

“Ummi, yang ni tak penting
sangat.” Kata Huzaifah.

 

“Kamu menangis,
Huzaifah ?” deria keenam Zulaikha menangkap perubahan suara anaknya.
Dipeluknya Huzaifah, Huzaifah kembali tenang dalam pelukan Zulaikha.

 

“Ceritakanlah.” Pinta
Zulaikha.

 

“Pasal wang yang ummi bagi abah. Abah kata, sebenarnya dia dah ada wang
yang lebih dari cukup untuk perjalanan tu, tapi…” kata-kata Huzaifah terhenti
dek deringan telefon di ruang tamu. Zulaikha mendapatkan gagang.

 

Zulaikha menangis…

 

Zulaikha terduduk…

 

 

“Allahu akbar!” suara Huzaifah menggamit rumah usang itu tatkala
mengimamkan ibunya untuk solat maghrib.

 

Zulaikha masih terkenangkan panggilan telefon siang tadi oleh sahabat suaminya,
yang membawa khabar bak petir berdentum-dentum seolah-olah tidak mampu
berhenti.

 

Zulaikha baru menyedari yang wang yang diberinya kepada Hanzalah adalah untuk
pelaburan besar di jalan Allah. Hanzalah membeli kelengkapan tambahan untuknya,
untuk satu misi jihad fi sabilillah di Palestin.

 

Zulaikha sebak mengenangkan pemergian selamanya Hanzalah. Tiada lagi
teman dan kekasih yang selama ini menjadi sayap menaungi kehidupannya. Namun
jauh di sudut hatinya, timbul bibit gembira lantaran pemergian suami tercinta
sebagai seorang syahid.

 

Zulaikha mengangkat takbiratul-ihram.

 

Zulaikha rebah.

 

Zulaikha merasa lemas. Suara-suara seram datang menimbusnya. Bagai
dicarik-carik halilintar pedihnya tubuh. Tiba-tiba datang cahaya, dan
menenangkannya. Hanzalah datang bersama cahaya itu, memapahnya untuk ke destinasi
seterusnya yang abadi dan penuh kesejahteraan.

 

Zulaikha nazak…

 

Zulaikha tersenyum.

 

 

“Ummi…” Tersembur kalimah dari lidah Huzaifah selepas selesai solat
maghribnya. “Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un…”

 

3 Responses to “LAMBAIAN CINTA ZULAIKHA”
  1. ey,
    wut a great shrt stOry,,
    i lyke it!!
    hu~

  2. ive read dis..when triffine promote it to me at skewl..muahahhaha..not bad!!
    i lyk to write 2 u noe..
    poem espcially….kui3

  3. what a lovely story…
    even ayat yg dr gunakan sgt simple.
    tp itu sudah cukup menyayat hati.=))

Leave a Reply